Tuesday, November 17, 2009

Selamat Bercuti

Assalamualaikum w.b.t.

Hari Khamis atau Jumaat ini merupakan hari terakhir sesi persekolahan 2009. Ada dua pihak yang paling seronok apabila tiba musim cuti sekolah tiba. Yang paling seronok apabila cuti sekolah sudah semestinya pelajar. Dan yang turut seronok ialah ibu bapa kerana inilah masanya mereka akan menghabiskan cuti hujung tahun bersama anak-anak tersayang. Memang eloklah budaya ini digalakkan kerana inilah satu cara untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Kepada ibu bapa, ambillah peluang cuti sekolah untuk membawa anak-anak bercuti di lokasi percutian dalam negara kerana semuanya ada di negara kita. Tidak perlulah kita membawa anak-anak bercuti di luar negara. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, lebih baik kita laburkan wang untuk berbelanja di dalam negara sahaja.

Satu lagi kecenderungan ibu bapa apabila tiba musim cuti ialah menghantar anak ke pusat-pusat tuisyen. Alasan yang diberikan adalah untuk mengisi masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah terutama bagi anak yang akan mengambil peperiksaan pada tahun berikutnya. Memang tidak salah hasrat ibu bapa sedemikian. Tetapi ibu bapa juga perlu berfikir bahawa cuti sekolah sebenarnya untuk anak-anak kita berihat setelah penat menghabiskan sesi persekolahan dengan pelbagai aktiviti di sekolah termasuk aktiviti kokurikulum. Jadi, masa cutilah adalah masa yang paling sesuai untuk mereka berehat supaya apabila buka sesi persekolahan tahun depan mereka benar-benar bersedia.

Sebagai seorang guru, saya pernah mendengar keluhan seorang pelajar apabila saya bertanyakan apa yang dia hendak buat apabila cuti persekolahan nanti. "Ayah saya dah daftar nama saya di pusat tuisyen. Saya kena pergi tuisyen setiap hari, boringlah cikgu. Kalau macam ini, biarlah tak cuti sekolah pun tak apa." Demikianlah jawapan yang diberikan oleh seorang pelajar. Jadi, saya nasihatkan ibu bapa, biarlah anak-anak bercuti supaya otak mereka juga dapat berihat. Tak guna kalau kita paksa anak kita pergi tuisyen sedangkan mereka tidak suka. Lebih baik bawa anak pulang ke kampung untuk merasai sendiri pengalaman hidup di kampung, bawa anak ke sawah padi atau ladang getah, sekurang-kurangnya dapat memberi pengalaman yang menyeronokkan kepada mereka.

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment