Tuesday, November 17, 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini adalah hari pertama peperiksaan SPM yang dijalankan serentak seluruh negara. Pelbagai strategi telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk membantu para pelajarnya membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Semua pihak termasuk guru, ibu bapa, pemimpin atau sesiapa sahaja mahukan keputusan yang cemerlang kerana SPM adalah penentu kerjaya masa depan. Jika cemerlang, maka anak didik kita akan meneruskan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi samada kolej, maktab atau IPT awam atau swasta. Bagaimana pula jika gagal? Masa depan pelajar yang gagal SPM tidak menentu. Sesiapa yang rajin berusaha tanpa mengira kerja atau peluang, mereka akan berjaya dalam hidup. Tetapi bagi mereka yang hanya mengharapkan kerja makan gaji sedangkan SPM kandas maka mereka akan menghadapi laluan sukar dalam kerjaya hidup.

Kalau kita lihat keadaan sekarang dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, peluang pekerjaan amat sukar. Mereka yang keluar universiti pun ramai yang tidak mempunyai pekerjaan, apatah lagi pelajar yang kandas SPM. Masalah sosial pula semakin merumitkan lagi keadaan. Sebenarnya kadar pengangguran yang tinggi juga menjadi salah satu punca berlakunya masalah sosial terutama di bandar.

Saya selalu mengingatkan pelajar bahawa peperiksaan SPM hanya sekali dalam seumur hidup. Memang betul ada pelajar yang berkata boleh mengambil peperiksaan SPM ulangan. Peperiksaan ulangan tak sama dengan peperiksaan sebenar. Semasa mengulang, mungkin tidak lagi bergelar pelajar dan tiada guru yang akan membimbing. Sebab itu amat jarang kita dengar pelajar yang mengulang SPM mendapat kejayaan cemerlang. Kalau lulus pun hanya `cukup makan saja'. Jadi jangan lepaskan peluang peperiksaan yang sedang dihadapi ini. Buat betul-betul. Ibarat melepaskan tembakan dengan satu peluru sahaja sudah kena tepat kepada sasarannya.

No comments:

Post a Comment